Tuesday, December 18, 2007

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA




KORBAN: LAMBANG TAQWA, PRIHATIN




ZULHIJJAH adalah bulan penuh berkat buat semua umat Islam kerana dalamnya bergabung dua ibadat agung iaitu haji dan korban. Kedua-dua ibadat ini mengimbau sejarah agung yang memaparkan ketaatan dan kesabaran bapa, Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail mentaati perintah Allah swt. Ketakwaan Ibrahim dan puteranya yang hebat kepada Ilahi melebihi batas kasih sayang kepada insan yang paling disayanginya.




Selain menjadi bulan yang menyaksikan perhimpunan terbesar umat manusia di Mekah dan Madinah, istimewanya pada perayaan Aidiladha adalah ibadat korban. Dalam praktik kepercayaan dan keagamaan, korban bukan hanya dilakukan oleh umat Islam sahaja. Namun, ada bezanya korban dalam ruang lingkup Islam. Korban dalam Islam bukan memohon perlindungan semata-mata daripada ancaman mala petaka atau sebagai amalan menolak bala.



Korban dalam Islam adalah ibadat ikhlas sebagai lambang pengorbanan hamba kepada Allah.


Korban berasal daripada perkataan "qoruba" yang bermakna dekat. Korban adalah ibadat dalam bentuk pendidikan dan mendekatkan diri kepada Allah yang menjadi manifestasi rasa syukur kepada Allah atas limpahan nikmatnya.Allah berfirman yang bermaksud, "Sesungguhnya kami memberikan kepadamu nikmat yang banyak, maka dirikanlah solat dan berkorbanlah." (surah al-Kauthar, ayat 1-2). Rasululullah s.a.w pula bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang mempunyai kemampuan tetapi tidak berkorban, maka janganlah ia menghampiri tempat solat kami" (hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah, daripada Abu Hurairah).




Tujuan korban adalah semata-mata untuk mengagungkan syariat Allah dan merebut peluang mencapai ketakwaan di sisi-Nya. Setiap Muslim, sangat dituntut (sunat muakkad) melakukan ibadat korban, memadai menyembelih seekor kambing bagi diri dan keluarganya. Bagi golongan yang kaya, Imam Abu Hanifah menghukumkan "wajib" untuk melakukan ibadat korban.



Jika kita mampu secara fizikal, disunatkan kita menyembelih sendiri binatang korban itu.


Jika tidak mampu, disebabkan uzur atau sebab lainnya, hendaklah kita menyaksikan binatang korban ketika disembelih. Sabda baginda yang bermaksud, " Pergilah engkau melihat binatang korban! Sesungguhnya titis darahnya yang pertama itu Allah akan ampunkan dosa-dosamu yang terdahulu. lalu Fatimah (anaknya) bertanya, Ini untuk ahlul bait saja atau untuk semua orang Islam? Rasulullah saw menjawab: bahkan untuk kita dan semua orang Islam." (hadis riwayat al-Hakim). Justeru ibadat korban itu sangat dituntut kerana besar manfaatnya kepada orang yang berkorban.




Prof Dr Syed Fathullah Said, pakar dalam bidang tafsir di Universiti Al-Azhar menegaskan bahawa hikmah ibadat korban ialah untuk menegakkan syiar agama berasaskan pengorbanan. Agama ditegakkan dengan pengorbanan. Menumpahkan darah binatang adalah simbolik kepada pengorbanan yang dilakukan.




Semoga semangat berkorban menjalar dalam diri kita semua untuk memartabatkan Islam dalam kehidupan kita dan menyebarkan mesej tentang semangat kasih-sayang dan perkongsian luhur sesama Islam atas nama Allah swt .




SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL ADHA!


*catatan ini disesuaikan dari makalah "Korban: Lambang taqwa, prihatin golongan miskin" oleh Siti Marhamah Abdul Wahid (AJK Wanita Jamaah Islam Malaysia) dalam Tinta Ramadhan, terbitan Pusat Islam Universiti Sains Malaysia, Persatuan Mahasiswa Islam USM dan BPPK, USM.