Tuesday, December 18, 2007

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA




KORBAN: LAMBANG TAQWA, PRIHATIN




ZULHIJJAH adalah bulan penuh berkat buat semua umat Islam kerana dalamnya bergabung dua ibadat agung iaitu haji dan korban. Kedua-dua ibadat ini mengimbau sejarah agung yang memaparkan ketaatan dan kesabaran bapa, Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail mentaati perintah Allah swt. Ketakwaan Ibrahim dan puteranya yang hebat kepada Ilahi melebihi batas kasih sayang kepada insan yang paling disayanginya.




Selain menjadi bulan yang menyaksikan perhimpunan terbesar umat manusia di Mekah dan Madinah, istimewanya pada perayaan Aidiladha adalah ibadat korban. Dalam praktik kepercayaan dan keagamaan, korban bukan hanya dilakukan oleh umat Islam sahaja. Namun, ada bezanya korban dalam ruang lingkup Islam. Korban dalam Islam bukan memohon perlindungan semata-mata daripada ancaman mala petaka atau sebagai amalan menolak bala.



Korban dalam Islam adalah ibadat ikhlas sebagai lambang pengorbanan hamba kepada Allah.


Korban berasal daripada perkataan "qoruba" yang bermakna dekat. Korban adalah ibadat dalam bentuk pendidikan dan mendekatkan diri kepada Allah yang menjadi manifestasi rasa syukur kepada Allah atas limpahan nikmatnya.Allah berfirman yang bermaksud, "Sesungguhnya kami memberikan kepadamu nikmat yang banyak, maka dirikanlah solat dan berkorbanlah." (surah al-Kauthar, ayat 1-2). Rasululullah s.a.w pula bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang mempunyai kemampuan tetapi tidak berkorban, maka janganlah ia menghampiri tempat solat kami" (hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah, daripada Abu Hurairah).




Tujuan korban adalah semata-mata untuk mengagungkan syariat Allah dan merebut peluang mencapai ketakwaan di sisi-Nya. Setiap Muslim, sangat dituntut (sunat muakkad) melakukan ibadat korban, memadai menyembelih seekor kambing bagi diri dan keluarganya. Bagi golongan yang kaya, Imam Abu Hanifah menghukumkan "wajib" untuk melakukan ibadat korban.



Jika kita mampu secara fizikal, disunatkan kita menyembelih sendiri binatang korban itu.


Jika tidak mampu, disebabkan uzur atau sebab lainnya, hendaklah kita menyaksikan binatang korban ketika disembelih. Sabda baginda yang bermaksud, " Pergilah engkau melihat binatang korban! Sesungguhnya titis darahnya yang pertama itu Allah akan ampunkan dosa-dosamu yang terdahulu. lalu Fatimah (anaknya) bertanya, Ini untuk ahlul bait saja atau untuk semua orang Islam? Rasulullah saw menjawab: bahkan untuk kita dan semua orang Islam." (hadis riwayat al-Hakim). Justeru ibadat korban itu sangat dituntut kerana besar manfaatnya kepada orang yang berkorban.




Prof Dr Syed Fathullah Said, pakar dalam bidang tafsir di Universiti Al-Azhar menegaskan bahawa hikmah ibadat korban ialah untuk menegakkan syiar agama berasaskan pengorbanan. Agama ditegakkan dengan pengorbanan. Menumpahkan darah binatang adalah simbolik kepada pengorbanan yang dilakukan.




Semoga semangat berkorban menjalar dalam diri kita semua untuk memartabatkan Islam dalam kehidupan kita dan menyebarkan mesej tentang semangat kasih-sayang dan perkongsian luhur sesama Islam atas nama Allah swt .




SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL ADHA!


*catatan ini disesuaikan dari makalah "Korban: Lambang taqwa, prihatin golongan miskin" oleh Siti Marhamah Abdul Wahid (AJK Wanita Jamaah Islam Malaysia) dalam Tinta Ramadhan, terbitan Pusat Islam Universiti Sains Malaysia, Persatuan Mahasiswa Islam USM dan BPPK, USM.

Wednesday, November 14, 2007

HAPPY BIRTHDAY BRIAN!!!

WE WISH U A MERRY CHRISTMAS...WE WISH U A MERRY CHRISTMAS...WHOPSSS!!! SALAH LA KAWAN-KAWAN...WE WISH U A HAPPY BIRTHDAY, WE WISH U A HAPPY BIRTHDAY ...TO DEARIE UNCLE BRIAN!!! (TU DIAH ANAK MAT SALLEH DARI SAO PAOLO KA? OPS)

UNCLE...WE WOULD LIKE U TO HAVE THESE CUP CAKES ...

AND ALSO THIS CAKE...WE KNOW U LIKE SEAFOOD...



BUT U WOULD RATHER LIKE REAL SEAFOOD UH? SO LET'S STEAMBOAT TIME!
...
HAPPY BIRTHDAY TO MY DEAR BRO, BRIAN...MAY ALL YOUR DREAMS & WISHES COME TRUE...HAPPY BIRTHDAY!!!

















Wednesday, October 10, 2007

cuti-cuti raya



Ya...sempena hari raya yang bakal tiba, blog ini pun nak ikut balik bercuti ke kampung sama, hehe! Macam lah aktif sangat update kannnnn!

Sampai ketemu lagi ....selamat bercuti pada semua!!!

Ayie akan berlibur di Alor Star Kedah dari 11 Oktober sehingga 21 Oktober 2007.

Jaga diri...

Menyambutmu AidilFitri



Salam lebaran buat semua pengunjung blog sunyi ini. Semoga lebaran yang datang tika ini dapat membibit keinsafan dan mengangkat fitrah diri agar lebih suci. Maaf zahir batin.

MENYAMBUTMU AIDIL FITRI

Hari ini hari kemenangan
pada perjuangan membatas semua kemahuan
pada membatas kehendak yang tidak terhenti
pada membatas kemahuan yang tidak usai
pada membatas kehendak yang tidak bersempadan.

Sebulan lamanya mengajar diri
mengenal di mana hakikat manusiawi
yang mana letaknya peranan dan kawalan
yang mana letaknya amanah dan tanggungjawab.

Sebulan lamanya mengajar diri
mengenal sejauh mana kukuh peribadi
melihat sejauh mana gelora diri
dalam mengekang limpahan kemahuan yang tak pernah tuntas.

Kini,
seharusnya fitrah kita kembali suci
sesuci diri menguak rahim ibu
mengangkat sebuah amanah
memartabat sebuah hasanah
dalam pasrah kalimah Allah.

Aidilfitri ini seperlunya
kandil dalam pekat gelita perjalanan diri
menyuluh, mengarah dan memandu
menuju alam abadi.

- ayiepenang, aras 16, gambier avenue, 29 ramadhan 1428 Hijrah-



*terima kasih pada Zam yang merekabentuk kad ucapan ini.

Thursday, October 4, 2007

Selamat Hari Lahir ZAM ~ 5 Oktober~

SELAMAT HARI LAHIR PADA ZAM@KASTURI... welcome October's bro, ahaks!!!
Ramai yang akan sambut birthday pada bulan neh, so sebagai Abg Long yang dah tua kan, Zam mendahului nampaknya! Jangan mare!!!

Semoga segala impianmu menjadi kenyataan dan semoga hari-hari mendatang menyerlah jauh dari yang biasa!!!

Happy Birthday Zam!!! Happy many returns!!!

Wednesday, September 12, 2007

Salam Ramadan 1428 Hijrah/2007


BERSIMPUH DI SEJADAH RAMADAN



segala angkuh jadi luluh


mohon sungguh-sungguh


tunjukkanku gerbang malam qadar-Mu


yang menghantarku ke ruang maghfirah


dalam khusyuk menghulur hati


mencuba mematah bilah-bilah kejahilan


dengan sepotong hidayah


yang Kau kurniakan.



tunjukkanku gerbang malam


qadar-Mu, Tuhan


nilaiannya tiada tandingan.



© Hani Hamsyari. Mingguan Malaysia. Oktober 2006.

Thursday, August 30, 2007

Dirgahayu Malaysia

5o tahun yang lepas, putera raja ini telah melaungkan kalimah Merdeka sekaligus membebaskan Persekutuan Tanah Melayu daripada belenggu penjajah selama hampir 4 kurun seawal Portugis sehingga Inggeris.

Sanjungan budi kepada para perwira bangsa yang telah berjuang menegakkan sebuah negara, walaupun berkorban jiwa dan raga demi sebuah merdeka!

Kini, masanya untuk kita mengisi dan memberi makna pada sebuah kemerdekaan ....
Dirgahayu Malaysia! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!




















Ops Sawang!



Tu diahhh! Lama sungguh tak hapdate blog naaa! Sawang neh, mati la kena carut kan? Sebenaqnya dah malas nak menulis, lagipun tak ada sapa yang nak baca pun selain diri sendiri, haha! Lepas ni mungkin akan hupdate lagi la, kalau ada passion untuk terus menulis. Merasa!

Friday, July 13, 2007

Lirik Pilihan Minggu Ini

DALAM KENANGAN


..............................................


Bila terkenang masa lalu rasa terharu
Segalanya masih kekal dalam kenangan
Tiba di persimpangan jalan berpisah jauh
Sekian lama di rantau bersendirian

Tiada lagi seruling senja mendayu
Tiada lagi ketawa riang bersama
Bila sepi mengusik hati
Semuanya kini dalam kenangan

Aku kirimkan restu pada ayah dan bonda
Budi dan jasamu tetap dalam kenangan
Teman seiring jalan kini jauh dariku
Kemesraan kita tetap dalam kenangan

Tiada lagi suara ombak di pantai
Tiada lagi bayu teberau membelai
Di saat sepi begini
Semuanya kini dalam kenangan

Bila masanya tiba nanti aku kembali
Pasti ada yang berubah dan tiada lagi
Dan bila kutinggalkan lagi kampung halaman
Segalanya abadi dalam kenangan

nyanyian: Kumpulan Wheels


000...........................000

Merayap lagi....


Bas merah mai lagi jemput duta rasminya pi KL, ahaks! LB, jangan lupa amik gua! Haha! See ya all in KL, back to KL, back to UM, back to here, here and here ....

Wednesday, July 11, 2007

SELAMAT HARI LAHIR NAZA!!!



Semoga makmur sejahtera bersama sang kijang emas! Dengar cerits dapat naik pangkat lagi...alhamdulilah berkat kerja keras dan azam yang tak kunjung padam untuk memartabatkan diri di persada kewangan, haha!!! Selamat hari kertu!!!

Sunday, June 24, 2007

Lirik Pilihan Minggu Ini

Langit Petang


Mengapakah awan mendung
Menghiasi langit petang
Redup sinar alam maya
Tanpa sinar bahagia

Kehampaan yang melanda
Di titian kehidupan
Resah duka berpanjangan
Menantikan kedamaian

Di mana sinaran mu
Di mana keindahan
Di mana pengharapan
Hanya kecewa sering melanda

Seandainya senja tiba
Dalam suram langit petang
Sepi malam kegelapan
Tanpa sinar kebahagiaan

Nyanyian: Mendiang Broery Marantika

Wednesday, June 20, 2007

Rintih Tunanetra

Kadang-kadang sukar juga untuk kita menerima sesetengah perkara yang berlaku dalam kehidupan kita. Andaian yang kita buat tidak semestinya benar-benar belaku, malah ada realiti yang mengejutkan! Namun, itulah namanya kehidupan ini, penuh dengan kebarangkalian. Penuh dengan ketidak pastian. Seperti pagi yang cerah tidak semestinya akan berakhir dengan senja merah...

Peristiwa yang menyentuh perasaanku ini berlaku awal Jun lepas semasa aku di Kuala Lumpur. Aku dihubungi oleh Mat Nor (MN), rakan lama yang sama-sama menuntut di Universiti Malaya (UM) dulu. MN adalah seorang tunanetra. Semasa di UM, aku merupakan pembaca sukarela untuk MN. Sekali seminggu aku akan berkunjung ke karel MN untuk merakamkan bahan-bahan bacaan bagi rujukan MN. Mahasiswa tunanetra memang tidak ramai, rasaku hanya di UM pada ketika itu. UM mempunyai kemudahan yang paling sesuai untuk mahasiswa tunanetra dan untuk para mahasiswa lain keupayaan.

Kiranya aku agak rapat dengan MN. Walaupun sudah lama bergraduat, aku masih terus menghubungi MN dan selalu juga menjenguk ke rumah MN yang terletak di Brickfields, suatu penempatan yang sinonim dengan golongan tunanetra. Rumah MN merupakan sebuah flat usang yang dikongsi bersama 5 rakan senasib. Kalau tak salah, sewanya RM5o seorang. Ada tiga bilik dan 1 bilik air. Flat MN terletak berdekatan dengan Bangunan YMCA, Brickfields. Kawasan sekitar itu juga popular dengan kegiatan pelacuran murah. Itu juga satu daripada perwatakan Brickfields yang masih memberi rona jelik.

MN biasa meminta pertolongan daripadaku. Yalah, sebagai tunanetra, ada perkara-perkara yang sukar dilakukan sendirian. Jadi, kalau aku boleh dan berkesempatan, aku akan cuba menolong sedaya-upaya. MN sendiri seorang yang berdikari. Dia hanya akan meminta bantuan jika dia sendiri tahu ia sukar dilakukan. Pada kunjungan aku yang kesekian kali ke KL awal bulan ini, dia meminta aku menemaninya ke majlis perkahwinan anak bekas gurunya di Taman Seri Bolton, Batu Caves. Aku agak kabur-kabur dengan lokasi tempat itu tetapi MN meyakinkan aku yang Zam, seorang junior tunanetra juga akan ke sana bersama. Jadi, MN mencadangkan kami menaiki Putra LRT ke Taman Melati Gombak, dan dari sana ke rumah Zam berdekatan situ.

Sumpah, aku memang kabur-kabur sekali tentang Gombak dan Batu Caves. Jadi, seorang normal yang kabur dengan lokasi yang dituju akan membawa dua orang tunanetra. Baik, aku sedikit gusar sebenarnya tapi aku pun tak ingin menghampakan MN. Katanya, bekas gurunya itu baik dan dia pernah menginap di rumah bekas gurunya itu yang kini menjawat jawatan penting di Kementerian Pelajaran. Ya, mana mungkin aku menghampakan MN untuk meraikan hari besar bagi bekas guru kesayangannya itu. Jauh di sudut hati, aku membayangkan aura bekas gurunya yang begitu mendamaikan hati pastinya. Terbayang watak pelakon aruah Noraini Hashim yang begitu keibuan.

Kami sampai di Taman Melati dan terus mengambil teksi ke rumah Zam. Ya, ini juga satu cabaran kerana MN sendiri tidak tahu di mana rumah Zam, cuma katanya, beritahu pemandu teksi untuk berhenti di rumah tiga tingkat berwarna putih berdekatan dengan Jalan Besar Gombak. Kata Zam, pemandu teksi tahu benar sebab di situlah para tunanetra menginap di sekitar itu.

Aduh, rupanya tidak semudah itu. Pemandu teksi itu tidak tahu langsung dengan rumah yang dimaksudkan oleh Zam. Aku dan MN berkali-kali juga menghubungi selfon Zam untuk menentukan lokasi sebenar di mana sebenarnya rumah itu. Lama juga bermundar-mandir denga teksi di sekitar Jalan Gombak dengan selfon di tangan menanya arah lokasi Zam. Akhirnya, dapat jugalah kami mengesan Zam bila Zam sendiri berbual dengan pemandu teksi itu. Nasib baik juga pemandu teksi itu seorang yang penyabar.

Bila sahaja kami sampai untuk menjemput Zam, rupanya ada seorang lagi tunanetra yang menanti bersama. Jadi aku membawa tiga orang tunanetra ini ke rumah bekas guru merekalah, getus hati kecilku. Undangan perkahwinan rupanya hanya disampaikan melalui panggilan telefon. Jadi, Zam pun menelefon bekas gurunya itu untuk bertanyakan lokasi majlis. Teksi pun bergerak menuju Taman Industri Bolton. Ketiga-tiga tunanetra itu riuh bercerita dalam perjalanan ke sana. Aku pula melayani pemandu teksi yang baik hati itu. Nasiblah dia biasa membawa teksi dan faham dengan para tunanetra ini. Alhamdulilah.

Kami sampai juga ke destinasi yang dituju dan ketiga-tiga mereka mengikut arah dengan aku bertindak sebagai kemudi. MN memegang bahuku dan rakannya mengekor di belakang. Cuak juga rasa hatiku sebab khuatir kami ke majlis yang salah. Majlis kenduri itu diadakan di sebuah dewan orang ramai. Rasa cuakku hilang bila aku dihampiri oleh seorang lelaki muda yang kurasa mungkin ahli keluarga bekas guru MN itu. Ramai juga jemputan yang sedang menjamu selera. Rombongan aku disapa oleh seorang wanita dan beberapa lelaki lain yang berpakaian sedondon. Mereka berbual seketika dengan MN dan rakan-rakan.

Lelaki muda tadi terus mempersilakan aku dan MN serta rakan-rakannya ke meja yang kosong. Lelaki muda itu terus mempersilakan aku ke meja hidangan untuk mengambil hidangan. Katanya, beliau akan menguruskan makanan MN dan rakan. Kuhela nafas lega dan berehat seketika sambil mendengar lagu-lagu yang didendangkan oleh band jemputan.

Air minuman pun sampai ke meja untuk MN dan rakan, dihantar oleh petugas kenduri. Aku pula bangun untuk mengambil makanan. Tatkala aku mengisi nasi minyak ke dalam pinggan, lelaki muda tadi datang dan mengarahkan aku mengambil juga untuk "kawan-kawan awak itu". Oh, aku terkesima sebentar. Tadinya, dia yang beriya-iya berkata dia dan rakan yang akan mengambil nasi dan lauk-pauk untuk MN dan rakan.

Tak apalah, aku pun mengisi nasi dan lauk-pauk ke pinggan-pinggan yang ada. Lelaki tadi pun masih ada di situ dan turut mengambil makanan untuk rakan-rakan tunanetra itu. Justeru kami berempat, jadi aku mengambil hidangan untuk dua orang, sedang lelaki itu pun mengambil untuk dua orang lagi. Kutanyakan padanya, adakah dia anak tuan rumah. Dia tersenyum dan memberitahu yang dia adalah staf kepada tuan rumah.

Aku pun membawa hidangan itu ke meja untuk MN. Lelaki muda tadi pula melayani Zam dan rakannya. Zam ketawa bercerita yang tadi petugas kenduri ingin menyajikan mereka dengan laksa, sedangkan mereka hendak makan nasi. Aku senyum sahaja dan memberitahu mereka yang hidangan sampingan yang ada ialah laksa dam ais krim, selain cendol.

Girang sekali mereka mendengar ada ais krim yang disaji kepada tetamu. Kami pun menikmati hidangan sambil bercerita. Pengantin pun dah sampai tika itu dan band begitu meriah mendendangkan lagu-lagu sebagai halwa telinga jemputan. Rupanya, ayah kepada pengantin itu seorang yang berpangkat juga dalam pasukan beruniform. Beliau menyampaikan ucapan tahniah kepada pengantin.

Kami terus menjamu selera dan tahukah anda yang akulah yang melayani tunanetra itu semua? Aku tidak sesekali berhalangan untuk melakukan itu kerana aku tahu aku adalah kemudi yang membawa mereka ke sana. Aku rasa gembira melayani mereka sambil ralit mendengar cerita-cerita mereka. Duduk bangunlah aku, ke sana-sinilah aku di majlis itu. Lelaki muda tadi terus hilang, sibuk barangkali.

Dalam hati aku terdetik juga persoalan, bagaimana aku akan membawa mereka ini balik nanti? Kuperhati sekeliling, memang tiada teksi atau bas yang masuk. Tak apalah, aku akan bertanya pada tuan rumah nanti. Inikan anak-anak muridnya juga. Mungkin juga dia boleh mengatur untuk sesiapa di situ menghantar kami nanti, setidak-tidaknya ke jalan besar.

Selepas hampir 1 jam setengah di situ, aku pun beritahu MN yang kami perlu balik sebab aku ada temujanji dengan rakan pada jam 4 di Petaling Jaya. Aku pun bangun dan MN memegang bahuku. Rakan-rakanya mengekor daripada belakang. (Tips: jika anda ingin memimpin tunanetra, mereka lebih selesa jika mereka memegang bahu anda dan bukan anda yang memimpin tangan mereka).

Aku pun mengemudi mereka berjumpa dengan tuan rumah. Suami tuan rumah nampak gembira sekali sambil bergurau dengan MN dan rakan-rakannya. Aku pun bertanyakan kepada bekas guru MN itu tentang teksi untuk keluar. Mukanya selamba sahaja dan dia terus bertanyakan Zam sama ada Zam menyimpan nombor telefon teksi dan menyuruh Zam menelefon teksi itu. Zam nampak sedikit terkejut dan dengan tenang memberitahu gurunya itu yang mereka akan berjalan menanti teksi di jalan besar.

"Ya, aku mengharapkan sedikit bantuannmu wahai guru! Tahukah kamu yang aku ini sedang mengemudi tiga orang tunanetra dan rumah kamu ini jauh daripada jalan besar? Setidak-tidaknya kamu boleh menyuruh sesiapa menghantar kami ke jalan besar sana. Dewan Taman Industri Bolton ini terletak kira-kira 15 minit perjalanan berjalan kaki ya puan guru!"

"Kalau ada teksi senang la sikit, tapi tak pula nampak teksi masuk ke sini," jelasku tawar mengadap muka ibu guru mulia itu.

Zam terus mencelah dan berkata yang kami boleh bergerak sekarang dan aku terus bersalam dengan suami ibu guru yang mulia itu dan bergerak mengemudi tiga sahabatku ke jalan besar. Hatiku panas teman, bukan aku mengharapkan apa, cuma sedikit kemudahan untuk anak-anak murid tunanetra ini mudah ke jalan besar.

"Bayangkan mereka tunanetra itu datang meraikan hari besar anakmu wahai ibu guru mulia! Mereka datang kerana kamu guru mereka, mereka mengingati budi kamu, biar susah pun mereka usahakan agar sampai ke majlis besar kamu ini, dan kamu pun sebagai guru kepada anak-anak tunanetra, sewajarnya kamu sedar apa yang harus kamu lakukan. Ya ibu guru, aku tidak meminta pun bantuan kamu kerana aku tahu kamu sibuk melayani tetamu yang datang. Tapi wahai ibu guru yang mulia, tidak bolehkah kamu meminta seseorang dalam kerabat kerjamu itu tadi untuk menghantar anak-anak ini ke jalan besar sana setidak-tidaknya. Tidak perlulah menghantar aku kerana aku celik dan sempurna sifatnya tetapi tolonglah mereka!!! Aku bukan mahu mengurangkan beban diri kerana aku menolong mereka kerana Rabbi tetapi kau bolehkah melihat kondisi ini wahai ibu guru?"

Itu semua hanya bergumam dalam benakku dan aku terus menyusur jalan keluar dari Taman Industri Bolton itu. Dibelakangku tiga orang tunanetra bertatih mengikut. Hampir 15 minit aku mengemudi mereka ke jalan besar. Alhamdulilah, aku berjaya menahan sebuah teksi. Selepas menurunkan Zam dan rakannya di rumah mereka, MN meminta teksi itu terus ke Brickfields. Aku terkejut juga, tapi MN beritahuku yang masa suntuk untuk aku jika kami menggunakan LRT pulang ke Brickfields kerana temujanjiku pada jam 4 nanti di PJ. Sementelahan kami belum mengerjakan solat zohor. Kami sampai dengan selamat ke flat sewa usang MN. MN mahu membayar tambang teksi itu. Dia berkeras juga, aku beritahunya yang cuma perlu bayar RM5 sahaja dan bakinya aku langsaikan. Dia mengucap terima kasih.

Aku terus terkesan dengan peristiwa itu. Pastilah aku mengharapkan senja yang merah ronanya akan mengakhiri kembara hari bagi MN setelah matahari pagi muncul menyinar dengan lembutnya walaupun MN tak pernah menyaksikan semua itu...dan hujan terus menyirami bumi KL petang itu seakan sama-sama menangisi sebuah kemanusiaan yang pudar...

Nota
Tunanetra - buta

Sunday, June 17, 2007

Selamat Hari Bapa


Titipan kasih, sanjungan budi dan doa sewangi kasturi kepada Pak yang telah membesarkanku dengan penuh kasih sayang. Tak terbalas rasanya....SELAMAT HARI BAPA!!!

Prelude

Aku dah awal-awal sambut hari bapa minggu lepas. Aku balik kampung dari 9 sehingga 12 Jun lepas. Memang dah pikir apa yang aku nak buat untuk merayakan hari istimewa nih sebelum aku balik kampung lagi. Tapi aku tak la cakap dengan ayah aku yang aku nak merayakan hari bapa nih. Bukan apa, budaya sambut hari bapa, hari ibu ni kan masih baru. Rasanya ayah aku pun tak tahu la pasal sambutan-sambutan ni semua. Tapi its kind of treat to him.

Ayah aku dah lebih 70 tahun umurnya. Alhamdulilah, masih sihat lagi. Cuma dia dah tak boleh sangat berjalan jauh, "mabuk kereta" katanya. Kali akhir dia berjalan jauh, rasanya tahun 2004 kot, atau 2003. Masa tu, kakak aku bersalin di KL, so aku la yang bawa dia ke sana. Berbanding aruah emak, ayah memang tak suka berjalan sangat. A home type person. Biasanya ayah aku buat kerja sekeliling rumah aje, menebas dan berkebun. Sawah pun dah tak buat sangat, upah aje orang yg buat, selain abang-abang aku yang tolong. Ada gak yang disewakan.

Jadi sebagai tukang masak rasmi di kampung, hiks, aku dah merancang untuk memasak pulut kuning untuk ayah aku. Ni la kali pertama aku masak pulut kuning tau. Gigih neh! Aku dah tengok-tengok resepi di intenet dan tanya kawan-kawan yang pakar masak neh. Aku yakin boleh masak cuma takut tak menjadi jerk! So, aku call Kak Long aku dua hari sebelum masak tu, tanya dia tips untuk masak.

Adeh, debar gak nak wat pulut kuning masa tu....yang bestnya makcik jiran sebelah pun tau aku nak masak pulut tu. Mana taknya, periuk kukus kami ada di rumah dia. Jadi masa ayah aku pi amik periuk kukus tu, dia pun tanya la nak buat apa dengan periuk tu? alo? kan tu periuk kami? ahaks...motif nak tau apa nak masak? Eh, aku tak la marah ngan mak cik tu sebab dia pun dah macam family kita orang gak tapi segan la bila dia tau aku nak mengukus pulut kuning!

Misi aku bermula pagi Isnin minggu lepas (11 Jun). Bukan susah pun buat pulut kuning ni ya, sila google untuk resepi, haha! Lepas rendam 4 jam setengah pulut tu ngan air kunyit dan asam keping, dah boleh la dikukus. Masukkan daun pandan untuk lebih harum. Menjadi la pulut tu sebab habis dibalun kan, ahaks! Well, boleh la mengukus lagi di kemudian hari!

Suka la aku tengok ayah aku layan pulut tu kan.Puas la hasil eksperimen menjadi! Tapi yang paling penting menggembirakan dia. Aku tahu aku tak mampu dengan cara lain. Itulah yang termampu aku buat untuk dia, buat masa ni.

Epilog

Buat ayah, aku ingin selalu bersamamu. Sesungguhnya. Tapi kita terpaksa berada pada kejauhan ini. Aku cuba untuk selalu pulang ke desa menjengukmu. Tapi kau tak pernah jauh...kau sentiasa dalam denyut nadiku....selamat hari bapa...

Ayah,

I do not see you often, but
I see you every day.
I've taken you along with me
As I have grown away.

We talk about the things that fill
A life with love and pain,
But our timeless golden time,
Unspoken, still remains.

You will always be my dad,
And I, your darling son.
The days may turn like waterwheels,
But that will never change.

The thought of you will make me glad
No matter where I wander.
You are the place that cannot feel
Uncanny, dark, or strange.

Thursday, June 7, 2007

Congrat on ur new car!!!

Tu diahhh! Terkesima aku bila orang tu mai jemput aku ngan kereta dia neh! Kereta baru dia tau! What a surprised!!! Boleh kata double pleasure suprised sebab kereta ni pun fevret aku gak! Mempersembahkan Harrier!!!

Nanti kita pusing2 lagi ya dengan kuda baru hang tu! Hari tu takat 250 meter aje kan? larikkk!

Saturday, June 2, 2007

Daulat Tuanku!!!



Hari ini adalah hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Baginda mengukir sejarah sebagai Sultan termuda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-13. Tuanku Mizan adalah Sultan ke-17 yang memerintah negeri Terengganu Daruliman.

Bersempena dengan sambutan keputeraan baginda, seramai 2,309 penerima darjat kebesaran, bintang dan pingat telah menerima kurnia daripada Tuanku Mizan. Senarai penerima didahului oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang menerima darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri.

Turut menerima PMN ialah Presiden Bank Pembangunan Islam (IDB), Dr Ahmad Mohamed Ali Al-Madani; Panglima Angkatan Tentera, Jen. Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Tokoh perfileman tanah air, Datuk Jins Samsudin juga menerima kurnia Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri. Seniman veteran, Aziz Satar turut menerima Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk.

kredit - Bernama

Tuesday, May 29, 2007

Back to Hostel...


Untuk trip kali ni, aku sejak awal-awal lagi bincang dengan Cik Wan, junior aku masa degree dulu untuk tinggal di Kolej Z (KKZ), yang mana Cik Wan jadi Pembantu Penyelia di sana. Kata Cik Wan, kadar bayaran dalam RM6 sahaja untuk sehari. Cukup murah la untuk student macam aku neh. Cik Wan pun dah janji nak sediakan segala cadar, tuala, toiletteries dan sewaktu dengannya untuk kemudahan aku katanya. Thanks Cik Wan, ehehehe!
So masa trip pertama aku ke KL dulu (6-9 Mei), aku dah siapkan surat untuk Pengetua KKZ berserta rincian tempoh penginapan yang aku nak. Cik Wan kata sebagai syarat saja. Memang tak ada masalah pun nak stay di kolej/asrama semasa cuti panjang sekarang nih.
So gedebak gedebuk, permohonan aku untuk menginap sementara di KKZ diluluskan. Yippeee! Tapi yang lagi bestnye, oleh kerana aku mohon melalui surat rasmi, maka aku kena tunggu gak surat rasmi dari KKZ tentang kelulusan permohonan tuh. Dannnnnn, surat tu akan dipos ke Penang lah! Pos biasa buleh makan masa 3-4 hari gak! Bila masa pulak aku nak terima surat tu eh? Aku sepatutnya daftar pada 21 Mei. Masa aku tau KKZ approved permohonan aku tu dah 16 mei! Tapi itu bukan la halangan terbesar pun sebab Cik Wan dah sms aku yang dia akan bagi surat tu by hand pada aku. Rupanya itu prosedur ISO sahaja. Surat mesti dibalas surat. Gituh la pulak.
Dalam pada tu, kerja-kerja aku untuk kaji lapangan di KL pun tak berjalan lancar dan melihat kelembapan tuh, aku terus aje call KKZ untuk maklumkan yang aku masuk lewat. Cik Wan pula dah bertolak ke Penang untuk Sukan Antara Universiti (MASUM) pada 20 sehingga 24 Mei. Jadi malam 20 Mei tu barulah aku dapat surat dari KKZ melalui Cik Wan, tapi no hal la sebab aku dah cakap dengan pengurusan KKZ yang aku masuk seminggu lewat. Owes la penangguhan, kalau orang ni tau, mesti puas la aku diperli!
Jadi semalam (28 Mei), selepas aku dijemput LB di Puduraya, kami pun gigih la ke KKZ untuk daftar masuk. Aku risau gak sebab macet sangat masa tu. Alhamdulilah selamat gak sampai di KKZ sebelum 4.15 petang. KKZ merupakan kolej kediaman aku masa mula-mula masuk ke UM dulu, back in 1994 tau! Haha! Jadi, aku tak la rasa alien sangat dengan KKZ. Lagipun aku pernah menginap di unit penyelia KKZ atas ehsan Cik Wan dulu, kan LB kan? hehe!
Masuk aje ke pekarangan KKZ, aku terus la daftar masuk dan bayar di pejabat am KKZ. Hanya RM39 untuk seminggu, wahhhhh, lebih murah dari hotel Quee Ping kan LB? Ops! Aku pun terus la bersemangat angkat bas samsonite ngan LB ke asrama. Bilik A218, aras 1. Buka aje pintu, zassssss!!! Terus aku emo neh, kan LB? Aiyoh!
Hanya tilam buruk melepek yang ada! Selain tu, ada almari pakaian 3 beradik untuk tiga penghuni (bilik tu untuk 3 orang) dan udara bilik yang sangatlah kepam! Aku pun terus la libas henfon sms Cik Wan! Perlu ke aku dapat bilik nih? Bantal pun tak ada nih! Pitam jap! Sekali line henfon pulak tak ada dan aku baru teringat yang kredit aku pun ciputlah amat! LB pun nampak tensi, kan LB? K e ko tengah carut aku yang emo? Excuse me, ratu mana yang tak emo? Ops!
Aku pinjam aje henfon LB dan call Cik Wan, hanya nak tanya ada bantal ke tak? Sekali Cik Wan takut-takut nak cakap la kan sebab number henfon LB yang naik kat skrin henfon dia, bukan nombor aku! Ahaks! Aku terus la cakap pasal bantal! Aku nak bantalllll! Ruponya kalau nak bantal kena caj extra RM2 pulakkkkk! Tapi untuk sepanjang tempoh menginap di situ la, bukan setiap jam! Ahaks!
So berlari la pulak aku ke pejabat am tanya tentang bantal tuh! Yang aku herannya staf-staf di situ tak pulak cakap pasal bantal or what not tadi. Adeh! Oh ya, sistem pendaftaran masuk di KKZ ni ikut sistem tingkap! Ahli mesyuarat tingkap sangat! Mula-mula kita kena pi daftar dan amik kunci di pejabat am. Lepas tu pi amik bantal kat tingkap lain plak, ngan cadar & sarung bantal. Kaedahnya!!! Yang jaga bantal lak ada time-time dia akan pi amik bantal dalam stor, ahaks! Merasa!
Dapat aje bantal, terus la aku naik ke bilik kepam tu. LB dah siap2 argue nih pasal anugerah super brand yg Universiti ni dapat kannnnn! Perlu ke superbrand sedang bilik kepam? Motif LB emo plak? Haha! Siap2 la dia bandingkan dengan asrama dia masa stadi Poli dulu. Clust ko LB, dok kondo kah masa tuh? Larikkkkk!
Dalam aku melengung-lengung tu Cik Wan sms lagi bagitau yang dia dah siapkan beg dengan cadar, tuala dan kain pelekat untuk aku. Mithali sangat neh! So aku dengan girangnya pi la amik beg tuh! Hah, modus operandi Cik Wan macam tu la, dia tinggalkan sume barang-barang tu depan unit kediaman dia. Dia pi mana tatau, sibuk la kot! Tapi aku memang menghargai sangat Cik Wan neh. Caring & concern la ngan musafir sorang neh, hiks!
So, gedebak gedebuk, aku dah kemaskan bilik masa LB mohon pergi. Hujan pun turun, dan mata pun dah berat, zassss lena kan....sementara menanti masa makan malam nantinya dengan all my best friends - LB, orang ni dan R. Kepam-kepam pun boleh gak aku lena, haha!
Selamat kembali ke KKZ yang dulunya cantik tapi dosi kepam dan kertu sekarang...kita juga akan begitu kah Luke?

KL Trip Again!



Sekali lagi aku ke Kuala Lumpur (KL) untuk urusan pengajian. Kali ni bertolak dari Penang dengan bas rasmi, Konsortium Ekspres jam 10 pagi, 28 Mei. Aku selalu ambil bas konsortium sebab cepat dan selama ini selamat, alhamdulilah. Sebelum berlepas ke terminal bas Sungai Nibong, aku telefon dulu Ayah untuk maklum perjalananku nanti. Perjalanan lancar, cuma dekat dengan Sg Buloh tu laluan ditutup sebahagian untuk kerja menaik taraf lebuh raya, jadi agak macet.

Aku sampai di KL jam 3 petang. Alhamdulilah, LB bercuti dan sedia menyambut di Puduraya. Thanks bro! Nampaknya hujan lebat di KL menyambut kedatanganku. Puduraya macet dengan kenderaan dan orang ramai, justeru cuti sekolah sekarang.

Monday, May 21, 2007

REFRESH!!!

Dulu masa tak ada blog, aku selalu komplen pada kawan-kawan yang tak update blog! La neh, aku pun sama tak update gak!!! Mati la bersawang kan??? Ekceli, aku busy sikit la nih (hiks!), so tak ada masa nak melangut hupdate kan!!!




  • HAPPY BELATED MOTHER'S DAY

Setiap Mei adalah bulan meraikan para ibu. Tahun ini, hari ibu di Malaysia jatuh pada 13 Mei. Hari ibu khusus meraikan ibu yang telah melahirkan, membesarkan dan mendidik anak-anak dengan penuh kesabaran dan kasih-sayang sejati. Bagi aku pula, hanya titipan al-Fatihah buat ibunda yang telah pergi selamanya. Kasih sayangmu kubawa bersama tiap detik tiap ketika. Semoga rohmu ditempatkan dikalangan mereka yang soleh. Amin.

  • HAPPY BELATED TEACHER'S DAY

Tanggal 16 Mei setiap tahun pula adalah hari buat warga pendidik. Tanpa mereka, siapalah kita. Tanpa bimbingan daripada mereka, kita pasti tak berupaya berada di pentas mana pun sekarang. Terima kasih cikgu! Dedikasi pada guru-guruku di Sek Keb Hj Idris Tajar, Alor Setar; Sek Men Tajar, Alor Star dan Sek Men Dato Syed Omar, Alor Star, Kedah. Juga bingkisan budi buat para pensyarah di Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia yang dengan sabar dan penuh ilitizam mendidik kita mengenal huruf dan seterusnya mengenal kehidupan itu sendiri.


Justeru sajak oleh Sasterawan Negara Dr Usman Awang adalah manifestasi penghargaan kita pada mereka:

GURU OH GURU

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum manjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.






Friday, May 4, 2007

CUTI-CUTI KL




Salam. Aku akan berlibur dalam rangka promosi album terbaru ke Kuala Lumpur (KL) pada 5 Mei dan akan pulang ke Penang pada 9 Mei. Doakan perjalananku selamat.

  • Kepada Zam, Orang, LB, R, dan Ayei, jangan lupa red carpet kat platform, ok? Hehehe!!!
  • Kepada Luke, selamat berehat selepas puas "ter-ter" di Dubai, ops! Aku nak tengok entry Dubai tau!

Tuesday, May 1, 2007

SELAMAT HARI PEKERJA


SELAMAT MENYAMBUT HARI PEKERJA kepada semua warga pekerja. Tahun ni korang dapat la cuti lebih sebab Wesak pun jatuh hari ni gak kan!

Orang ni tak la sambut Wesak tapi bercuti panjang di Dubai! Kelaz ko! Nanti hapdate tau apa-apa skandal yang "ter" kat sana.

Kepada pengunjung-pengunjung tag board aku, terimaz, nanti kita brain storming lagik. Nak tido dah ni, letih plak hari ni bila mula berjogging! Hiks! Nite!!!

Sunday, April 29, 2007

LIBURAN HARI MINGGU

Mula sekali aku nak ucapkan terima kasih pada Zam yang banyak bagi tips untuk blog nih! Selamat kembali dari Korea Selatan. Blog ni masih dalam proses pengubahsuaian di sana sini. Sapa-sapa yang nak bagi idea kreatif, sila tinggalkan komen atau chat di tag-board yang disediakan.

Hari ni hari minggu yang nyaman di Penang. Mendung aje, best sebab selalu Penang memang panas terik! Aku bangun tido pun elok-elok nak mula Melodi di Tv3 ahaks! Hampeh tul, memang best tidoq, rasanya Zam pun sama gak, ops!

Orang ni sms keterujaan dia semalam masa aku bagitau yang aku dah start buat blog. Dia sekarang cuti panjang di Ipoh dengan ibundanya yang tak habis-habis bising nak tengok dia naik pelamin, ahaks! Aku mesti pi umah hang kalau hang naik pelamin! Lets!Hang naik dulu naa sebab hang dah sampai seru! Larikkkk!!!

Semalam Anugerah Industri Muzik ke-14 (AIM) live di ntv7. Keputusannya mesti semua dah tahu kan? Kalau nak tau lebih lanjut, sila klik sini. Yang pasti Jac telah membuktikan keupayaan dia dalam persada seni. Tahniah! Jac telah meletakkan tanda aras dalam rancangan realiti televisyen untuk melahirkan pelapis yang berbakat besar dan bukan setakat popular semusim cuma.

Semalam gak aku melangut tengok Chah, cerekarama di TV3. Aku ingatkan drama baru dalam slot mingguan ni, tapi seorang teman chat bagitau drama tu dah ditayangkan dua tahun lepas. Macam mana pulak aku terlepas menontonnya ya? Hehe. Pelakon-pelakon gred A macam Ida Nerina, Azean Irdawaty dan Wan Maimunah memang melonjakkan naskah drama ni ke tahap yang baik.

Dari segi lakonan memang bagus dan memikat. Cuma sayangnya, skrip oleh Opera Klasik ni masih meletakkan drama Melayu pada seputar hukum karma yang begitu-begitu juga. Alangkah manis kalau ada watak yang muncul dan membimbing watak-watak yang deviant dan hanyut itu ke jalan kebenaran sebelum watak Chah terhukum dengan begitu memalukan. Justeru penggiat seni perlu juga faham tentang estetika makna, selain memartabatkan estetika bentuk dalam karya seni itu. Kita bukan setakat memperlihatkan realiti pada layar, tapi juga mendidik penonton dengan secara tidak langsung melalui pembaikan jalan hidup manusia. Bukan khutbah melulu yang pasti membosankan tapi perlulah ada jalur-jalur keinsafan ditunjukkan pada watak-watak deviant (baca: buruk) untuk kembali muhasabah diri daripada sekadar menamatkan cerita dengan kemuncak yang boleh diduga. Nah, itu bukan kerja mudah. Apapun, Chah masih menjadi antara buah tangan terbaik dari Rasyid Sibir dan Pena Creative.














Saturday, April 28, 2007

PASAR MALAM SUNGAI DUA

Ceritanya hari ni aku ke pasar malam Sg Dua. Inilah pasar malam paling dekat yang boleh aku sampai kerana aku menapak aje di Penang neh. Aku kan pejuang alam sekitar, tak mau tambah pemanasan global (baca:aku tak mampu berkenderaan).

Pasar malam ni setiap Sabtu, kalau aku gigih, mesti la aku menapak ke sana. Jalan lenggang kangkung dari flat aku ke pasar malam tu ambil masa setengah jam gak, melalui lebuhraya bandar. Kalau masa budak-budak USM belajar, ramai la jugak yang sama-sama menapak pi pasar malam tu. Sekarang ni budak-budak USM cuti semester, so aku aje yang jalan kaki ke sana. Tapi ada gak kawan-kawan seperjuangan yang turut sama menapak. Ya, bukan orang Malaysia tau. Ekspatriat kau! Tapi dia orang ni ekspatriat buruh-buruh binaan la, ehehe! Kebanyakannya buruh Indonesia yang bekerja di tapak-tapak pembinaan apartmen sekitar flat aku.

Pasar malam ni tak la meriah sangat, berbanding pasar malam di Pantai Dalam KL yang aku rindui, ehehe! Kat rumah lama di KL tu memang meriah banget, bila dah pindah ni, terkenanglah pulak kan. Terutamanya putu mayam dan mi sup ayam kampong. Adeh. Oh ya, Sg Dua ni dekat aje dengan USM. Jadi, kemeriahannya amatlah bergantung pada student-student yang merupakan pelanggan setianya. Bila musim cuti panjang macam sekarang ni, kuranglah sikit kemeriahannya.

Apa yang aku selalu beli di pasar ni adalah sayur-sayuran. Aku cukup suka tengok sayur-sayur hijau tu. Selalu gak aku perati orang-orang yang beli sayur. Kalau orang Bangla atau India, ada la sayur-sayur wajib yang dia orang beli. Biasanya aku beli sayur-sayur yang boleh dibuat rencah mee atau dibuat sup dan tomyam. Senang. Bunga kobis, putik jagung, tomato, daun bawang dan cili merupakan belian wajib.

Satu lagi yang aku suka cari di pasar malam ni adalah air kelapa ngan ais krim. Buleh la melepas dahaga aku yang jalan jauh ni kan, hehe! Nasib baik gak hari ni pasal ada bakso kegemaran. Cinta aku ngan bakso ni bermula masa aku ke Riau, Indonesia pada tahun 1997. Masa tu aku ke sana untuk melengkapi keperluan subjek Penulisan Rencana katanya. Sepanjang kat sana la aku kenal bakso. Menu wajib.

Lepas beli bakso, nampak lak sorang adik manis ni jual kek-kek comel. Aku pun borong la 2 potong. Lepas dah beli kek, jenguk pulak ke gerai buah. Hmm, memang mahal sikit buah-buah di sini berbanding di Road Walk yang popular dengan buah-buahan murah dan barang-barang eksotik di sini. Apapun, aku beli la sikit, buat mengunyah-ngunyah.

Bila tengok handset, dah dekat maghrib, maka aku pun pulang (ayat karangan dulu-dulu sangat). Malam ni ada Anugerah Industri Muzik (AIM) live. Harus tonton. Cerekarama "Chah" di TV3 pun macam menarik. Nantikan entry esok.

p/s: Barisan Nasional (BN) menang lagi dalam pilihanraya kecil Ijok dengan majoriti 1,850 undi. Aku tak nak komen apa sangat, tapi rasa teruja nak tahu kenapa media terutama TV3 merujuk calon BN, K. Parthiban sebagai Cikgu Parthiban sepanjang liputan piliharaya kecil nih. Ya, dia memang la bekas guru, tapi boleh ke dirujuk dengan panggilan mesra sebegitu dalam pelaporan berita. Political branding? ops, dah melalut. Apapun pilihanraya kali ni mencatat sejarah dengan 80% lebih pengundi berdaftar di sana yang keluar membuang undi.

Friday, April 27, 2007

MULA BICARA


Salam dunia!!! Sebenarnya dah lama nak tulis blog sendiri tapi asyik tertangguh. Sekali jiran aku pun dah ada blog! Perghh! Mana boleh jadi, aku yang pandai sikit IT dari dia pun tak ada blog, adeh, terus la aku gigih create blog neh!

Dulu aku dah buat dah blog tapi macam tak reti2 (biul) nak organize blog tuh, muahaha, so IT illiterate! So kecemburuan yang membuak-buak pada jiran aku tu lah katalis yang membuat aku tercongok mengadap lap top neh masa hujan lebat lak tuh!


I have to go to bed now & mengorok! Ngehngeh! Buat masa ni cukup la aku say hello to all my reader! Later i will tell orang2 kampong, yang aku dah ada blog!!! Ko ado? Haha!